Thursday, November 29

Makanan Untuk Otak


1. Salmon
Salmon merupakan sumber asid Omega 3 yang sangat baik. Kanak-kanak yang makan salmon sekurang-kurangnya dua kali seminggu akan mempunyai minda yang tajam.
2. Telur
Sumber protein yang sangat mudah boleh didapati daripada telur. Kuning telur mengandungi cholineyang penting untuk perkembangan otak.
3. Mentega kacang
Kacang dan mentega kacang kaya dengan vitamin E iaitu antioksida yang mengawal membran saraf.
4. Bijirin penuh
Otak memerlukan tahap gula secukupnya untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Pengambilan bijirin pada waktu pagi mampu memenuhi keperluan tersebut 
5. Oat
Oat merupakan bijirin untuk otak. Kanak-kanak yang mengambil bijirin ketika bersarapan akan mendapat tenaga pertama untuk otaknya daripada oat. Oat yang kaya dengan serat juga menyediakan tenaga sepanjang pagi untuk anak.
6. Buah beri
Buah-buah beri seperti strawberi, blueberries, ceri mengandungi antioksida yang sangat berkuasa. Vitamin C yang terkandung di dalamnya dikatakan mampu mengelakkan serangan penyakit kanser. Kanak-kanak yang mengambil buah beri secara konsisten akan dapat memperbaiki daya ingatannya.
7. Kekacang
Kekacang merupakan makanan otak yang utama untuk mengekalkan tahap tenaga pemikiran manusia.
8. Sayur-sayuran berwarna-warni
Warna terang pada sayur-sayuran segar sangat baik kerana warna tersebut menandakan kehadiran antioksida padanya selain daripada vitamin dan mineral yang penting. Antioksida mengekalkan sel otak yang kuat.
9. Susu dan yogurt
Protein dan vitamin B yang ada dalam produk tenusu penting untuk pertumbuhan tisu otak, enzim danneurotransmitters. Susu dan yogurt juga kaya dengan protein dan karbohidrat yang merupakan sumber tenaga untuk otak.
10. Daging tanpa lemak
Daging tanpa lemak merupakan antara sumber makanan yang kaya dengan zat besi. Zat besi merupakan mineral yang penting untuk tumbesaran kanak-kanak dan membantu mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran di sekolah. Daging lembu juga mengandungi zink yang bagus untuk memori.

petikan dari Majalah Pa & Ma - http://pama.karangkraf.com/kanak-kanak/makanan-untuk-otak-1.97791

Wednesday, November 28

Minda Cerdas Persediaan Ke Sekolah - Bhgn 2


Fasa kedua: Bina minda menerusi permainannya 
1-Mainan kad imbasan 
Bermain dengan kad imbasan membantu perkembangan kognitif anak. Walau pun permainan sudah dimulakan seawal kelahiran, mainan ini boleh diteruskan untuk membina ingatan dan memorinya dengan mudah.
2-Blok mainan berwarna-warni dan berbentuk jigsaw 
Permainan blok, pelbagai bentuk dan jigsaw menambahkan kebolehan mereka untuk berfikir. Kebanyakan alat permainan berwarna-warni dan bermacam-macam-macam bentuk, saiz dan corak. Bermain dengannya akan menambahkan kemahiran koordinasi mata-otot-mental untuk menyaring maklumat dengan lebih cekap. Anda boleh bermain bersama dengan anak jenis jigsaw puzzle, mencantum blok bersambung serta mengasingkan objek mengikut bentuk dan warna untuk menajamkan minda dan menyerlahkan keupayaannya.
3-Gunakan tangan yang bukan dominan 
Jika si kecil menggunakan tangan atau kaki kanan sebagai anggota dominan, anda boleh mengajarnya menggunakan tangan kiri atau kaki kiri untuk melakukan aktiviti seperti melukis atau menyepak bola.
4-Main harta karun 
Anda juga boleh mengajak anak mencari harta karun. Berikan mereka klu dan suruhlah mereka mencari barang tersebut berdasarkan klu yang diberi. Sebagai contoh soalannya boleh berbunyi; Cuba cari benda yang berbentuk bulat di dalam sebuah kotak berwarna hijau di atas meja tulis. Pastikan klu yang diberi jelas dan anda boleh sediakan hadiah untuk permainan ini.
5-Bola ping pong dalam sudu 
Anda juga boleh meningkatkan kecerdasan minda anak dengan bermain permainan membawa bola pingpong dengan anak. Permainan ini akan membantu si manja mengukuhkan kawalan koordinasi badan dan minda.
Aktiviti-aktiviti ini membantu cilik mendapat minda untuk cerdas. Selain itu,  otak mereka juga sedang ‘bersenam’ untuk menerima seberapa banyak maklumat yang berguna. Hal ini juga meningkatkan keyakinan diri dan memperkaya pengalaman mereka. Tidak salah mencuba melatih minda anak kerana dalam masa yang sama ia membantu membina keterampilan positif pada si manja dan menggalakkan pertumbuhan tubuh badan yang sihat sebagai persediaan untuk menerima pelajaran di sekolah.  
 (Sumber: Majalah Pa&Ma November 2012)

Tuesday, November 27

Minda Cerdas Persediaan Ke Sekolah - Bhgn 1


Otak adalah organ terpenting dalam operasi tubuh. Otak terbahagi kepada dua bahagian iaitu kiri dan kanan. Otak kanan melihat sesuatu perkara secara menyeluruh dan lebih fokus kepada imaginasi dan kreativiti. Bahagian kiri otak pula adalah untuk menyelesaikan sesuatu yang kritis. Otak kiri lebih kepada urutan, kemahiran analitis dan pemikiran logik.
Maria melihat prestasi Amni tidak menunjukkan sebarang peningkatan walau pun sudah setahun dihantar ke prasekolah. Amni hanya mampu mengenal huruf, warna dan nombor dari satu hingga 10. Hal ini menjadikan ibu muda ini kecewa dan beranggapan Amni tidak berkebolehan kerana tidak memenuhi jangkaannya. Jauh di sudut hati dia menganggap Amni tidak normal atau lembap, tidak seperti anak-anak seusianya yang lain. Drama begini kerap berlaku di dalam kehidupan kita sehari-hari. Hal seperti ini berlaku kerana kita mengharapkan anak mempelajari setiap apa yang diajar di sekolah sedangkan kita mungkin tidak menyediakan mindanya untuk menerima pelajaran dengan lancar di sekolah.
Apakah kecerdasan minda? 
Pada usia lima hingga enam tahun mereka sedang meniti usia pra sekolah. Lazimnya ketika ini, sebahagian besar daripada otaknya sudah diterokai. Pendedahan kepada apa sahaja yang dilihat dan didengar dan disebut kekal di dalam memori otak. Setiap saraf dan sel otak berhubung antara satu sama lain untuk membentuk satu sesuatu kemahiran atau kepandaian untuk mempelajari sesuatu. Kecerdasan otak amat membantu anak untuk memberikan perhatian dan konsentrasi ketika di dalam kelas. Perkembangan kognitif dan kebolehannya menggunakan memori jangka panjang membantunya terus meneroka dan mengembangkan kebolehannya untuk mempelajari sesuatu yang baru.
Bagaimana melatih kecerdasan minda anak?
Minda yang cerdas memainkan peranan penting untuk melancarkan proses pembelajaran anak.
Kajian menunjukkan kebolehan seseorang untuk menerokai minda adalah dengan perubahan biologi yang disumbangkan menerusi latihan fizikal. Sebenarnya kecerdasan otak boleh kita latih dan cetuskan menerusi persiapan tubuh, permainan dan pergerakan fizikal tertentu yang terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama dan kedua.
Fasa pertama: Persediaan tubuh dan fizikal
1-Sentiasa terhidrat 
Anda perlu memastikan si manja mengambil secukupnya dalam sehari. Latih anak untuk minum sekurang-kurangnya segelas air sebelum memulakan pembelajaran. Hal ini kerana air membekalkan keseimbangan elektrolit dalam badan dan memberikan keadaan sesuai untuk sel-sel berhubung antara satu lain. Membekalkan anak dengan air dan melatih mereka meminum air sekurang-kurangnya satu liter sehari pada peringkat usia ini adalah amalan terbaik untuk kecerdasan minda.
2-Makanan untuk minda
Pemakanan seimbang amat penting untuk tumbesaran si manja. Namun, sesetengah makanan dipercayai berupaya membantu meningkatkan fungsi minda. Si manja perlu dibekalkan dengan makanan yang kaya antioksidan yang mampu mengelakkan kemerosotan memori, mengekalkan koordinasi dan pergerakan motor dan keseimbangan tubuh. Selain itu, sajian yang kaya minyak omega 3 seperti ikan lautan sejuk, badam, keju, beras perang, walnut, minyak canola, bijan. Selain itu kekacang dan telur yang diperkaya kandungan omega 3 juga adalah opsyen terbaik.
Makanan yang berkarbohidrat juga diperlukan dalam kuantiti yang sederhana dalam diet mereka. Makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat kompleks seperti oat, yogurt, roti gandum penuh dan aprikot kering adalah contoh karbohidrat kompleks yang digalakkan untuk menajamkan minda si cilik. Makanan yang kaya choline seperti telur dan kekacang amat penting untuk otak membina memori. Vitamin A yang banyak didapati dalam buah-buahan sayuran berdaun hijau gelap, jingga dan kuning membantu mengoptimumkan keupayaan minda untuk mengingati.
3-Tidur yang cukup 
Anda perlu memastikan si manja mendapat tidur yang cukup. Kanak-kanak pada usia lima hingga enam tahun masih memerlukan tidur pada waktu siang. Jumlah waktu tidur mereka sehari hendaklah sekitar 10 hingga 12 jam sehari. Hal ini penting untuk membantu si kecil dalam memberikan fokus dan tumpuan ketika belajar.
4-Senaman
Memetik kata Dr Gwen Dewar dalam artikelnya dalam laman parentingscience.com, kecergasan fizikal banyak mempengaruhi untuk mengukuhkan fungsi minda yang lebih baik pada kanak-kanak. Hal ini akan bakal membantu mereka menumpukan perhatian pada sesuatu dan mengabaikan gangguan yang ada di sekelilingnya.  Dedahkan si cilik dengan seberapa banyak aktiviti fizikal seperti sukan atau tarian untuk memastikan dia lebih mudah menumpukan perhatian semasa di dalam kelas.
(Sumber: Majalah Pa&Ma November 2012)

Monday, November 26

Memahami Pertumbuhan & Perkembangan Kanak-kanak


Perkembangan awal kanak-kanak umumnya meliputi pertumbuhan dan perkembangan mereka dari sejak lahir hingga 6 tahun. Pertumbuhan kanak-kanak berlaku sejak dalam kandungan lagi. Selepas bayi lahir, pertumbuhan dan perkembangan .
Pertumbuhan
Pertumbuhan kanak-kanak diukur berdasarkan keadaan tubuh badan mereka iaitu berat dan ketinggian. Selalunya, doktor atau pegawai perubatan ada carta yang boleh dirujuk oleh ibu bapanya. Biasanya berat badan akan diukur sesuai dengan ketinggian. Hal ini akan menentukan sama ada anak berada pada tahap di bawah pertumbuhan badan normal atau kurang/lebih. Bagaimanapun, faktor lain turut diambil kira iaitu faktor genetik dan kesihatan kanak-kanak itu.
Manakala perkembangan pula meliputi 4 asas utama iaitu perkembangan fizikal, bahasa, kognitif dan sosio emosi.

1. Perkembangan Fizikal
Perubahan yang berlaku dari segi bentuk dan saiz; kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan halus serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari. Manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti boleh memasukkan benang ke dalam lubang butang, melakar dan melukis.

2. Perkembangan Bahasa
Perubahan dari tahap mengeluarkan bunyi-bunyian kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada stimulasi. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya. Sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibaca kepadanya, menonton televisyen dan radio.

3. Perkembangan Kognitif
Keupayaan kanak-kanak mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia. Interaksi dan komunikasi orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu. Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah melakukan pengumpulan maklumat.

4. Perkembangan Sosio-Emosi
Keupayaan kanak-kanak bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Kanak-kanak semakin membesar dan pastinya perkembangan emosinya berbeza seperti gembira dan marah. Asuh kanak-kanak dengan mendengar perasaan yang diluahkan dan bimbing mereka ke arah emosi yang positif. Jangan dibiarkan kanak-kanak menangis berterusan tanpa mengambil berat emosinya. Terangkan kepada kanak-kanak tidak perlu menangis berpanjangan. Minta mereka memberitahu masalahnya dan berikan dorongan atau pujian sekiranya mereka boleh menguasai emosinya.

Friday, November 23

LOMPAT SI KATAK LOMPAT

Thursday, November 22

ANAK IKAN



Anaklah ikan lah ikan di makan ikan,
Ikanlah kecil tulangnya banyak tulangnya
Marilah kita lah kita bersukaria
Sambil menyanyi lah nyanyi gelak ketawa

Monday, November 19

Didikan Awal Penting.


SIKAP segelintir ibu bapa yang mengambil mudah mengenai didikan awal anak kerana menganggap si kecil itu tidak mungkin dapat memahami pelajaran, bukan saja merugikan kanak-kanak, malah ibu bapa sendiri.
Sebahagian ibu bapa pula meletakkan usaha mendidik pada bahu guru semata-mata kerana berasa mereka tiada masa atau tiada kemahiran mendidik, sedangkan mengajar anak kecil tidak perlu secara formal, malah lebih mirip kepada bermain. 
Untuk mendidik kanak-kanak, kaedah serius seperti yang diamalkan orang dewasa tidak sesuai digunakan kerana tumpuan mereka terlalu mudah terganggu. Oleh itu, menerusi cara bermain dan melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan, akan membantu dalam sesi pembelajaran yang berkesan.

Ada ibu bapa berasa tugas mengajar adalah tanggungjawab guru di sekolah, manakala mereka pula hanya memberi sokongan daripada segi moral dan kewangan bagi memastikan kejayaan anak dalam bidang akademik, bukannya memainkan peranan utama.

Menurut pengasas Tadika dan Pusat Perkembangan Didik Literasi Kiddies, Farah Waheeda Abdul Wahid, anak-anak adalah cermin kepada ibu bapa mereka.

Katanya, kajian mendapati selain faktor genetik, kanak-kanak mudah meniru persekitaran mereka dan ibu bapa adalah individu yang paling penting dalam hidup mereka, bukannya orang lain.

“Jadi tidak wajar menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada guru semata-mata, pengasuh atau lebih buruk lagi pembantu rumah.

“Terdapat lima perkembangan utama yang perlu diberi perhatian dalam pendidikan awal kanak-kanak iaitu perkembangan fizikal, bahasa, kognitif, sosio-emosi dan moral.

“Bagaimana untuk mengharapkan anak yang pintar, rajin serta mempunyai pekerti mulia jika ibu bapa pula sebaliknya? Ibu bapa adalah guru terbaik buat anak-anak mereka,” katanya.

Didikan awal kanak-kanak banyak bergantung kepada personaliti atau gaya keibubapaan itu sendiri. Secara umumnya, ada empat cara yang boleh membentuk keperibadian anak-anak iaitu penguasaan, pengawalan, menyenangkan dan menenangkan hati.

Menurutnya, ibu bapa yang cenderung melindungi atau terlalu mengawal anak mereka secara tidak langsung akan mengehadkan daya saing serta memandang rendah keupayaan anak mereka untuk berdikari.

Contohnya, ada ibu bapa yang masih membiarkan anak mereka memakai lampin pakai buang walaupun umur menjangkau lima tahun, sedangkan kemahiran terbabit boleh dilatih seawal usia dua tahun lagi iaitu apabila anak berkenaan mula pandai bercakap dan menyatakan kemahuan kendiri.

Farah Waheeda yang sudah sembilan tahun terbabit dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak berkata, bayi lahir dengan berbilion juta sel neuron otak dan amat merugikan sekiranya sel terbabit tidak dirangsang dengan baik kerana ia akan mati begitu saja.

“Kajian menunjukkan kanak-kanak yang berumur kurang daripada empat tahun mempunyai daya serapan yang amat tinggi iaitu 200 peratus berbanding selepas melewati usia berkenaan.

“Pengalaman saya melatih anak sendiri seawal usia enam bulan menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Ini kerana ketika umurnya setahun, dia mula memahami perkataan yang diajar manakala pada usia menjangkau dua tahun, dia boleh membaca lebih 50 perkataan bahasa Inggeris,” katanya.

Baginya, mengajar anak kecil memerlukan kaedah seperti membaca yang menggunakan tiga kemahiran penting iaitu mengecam bunyi atau huruf, memahami bahasa yang dibaca serta mengaitkan cerita yang dibaca dengan pengalaman individu.

Kemahiran menulis pula memerlukan kesediaan pada motor halus dan ia satu kaedah yang paling berkesan, mudah dan sistematik menerusi fonetik dan multisensori.

“Melalui kaedah ini, anak-anak hanya perlu menyebut bunyi tanpa perlu mengeja.
Jadikan ia sebagai tabiat, tidak perlu lama, sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit sehari.

“Selain itu, bagi meningkatkan kemahiran anak untuk belajar membaca dan menulis, ibu bapa juga perlu memilih perisian yang berfaedah untuk anak-anak mereka,” katanya.

Jika anak-anak tidak didedahkan dengan kemahiran membaca dan menulis seawal mungkin, mereka mungkin akan ketinggalan dalam bidang pelajaran.

Apabila keyakinan diri tergugat, kanak-kanak itu secara automatik akan kurang memberi tumpuan kepada apa yang diajar guru ketika mula memasuki sekolah, sebaliknya lebih gemar bermain.

Kanak-kanak yang dianggap lemah oleh guru seterusnya akan diletakkan di kedudukan meja di belakang kelas. Ini menyebabkan mereka seolah-olah dipinggirkan kerana kurang memberi tumpuan dan seterusnya menganggap diri sendiri tidak bagus hingga terus tercicir.

Disebabkan itu, didikan awal penting untuk anak-anak sejak usia muda kerana ia bukan saja memberi mereka pemahaman dan membantu mereka belajar membaca dan menulis dengan lebih cepat, tetapi lebih penting keyakinan diri mereka meningkat secara mendadak.

Apabila mereka mula memasuki sesi persekolahan dengan keyakinan yang tinggi, kanak-kanak itu memberi tumpuan kepada pengajaran guru dalam kelas, sekali gus membantu mereka semakin meningkat dalam akademik, seterusnya menjadi pelajar cemerlang.

Menurut Farah Waheeda, untuk ke tahun satu, kanak-kanak yang berumur enam tahun perlu menduduki Ujian Linus (Literasi dan Numerasi) untuk mengukur tahap membaca mereka.

“Bayangkan jika anak anda masih belum boleh membaca? Pasti dia tertinggal di sekolah dan tercicir dalam bidang akademik, juga paling penting, keyakinan mereka memahami pelajaran.

“Kanak-kanak yang sudah boleh membaca secara automatik akan suka membaca buku cerita. Membaca adalah kriteria utama untuk membuka kejayaan,” katanya.

Menurut Farah Waheeda, ibu bapa yang berminat mendidik anak mereka membaca dan menulis, boleh menjadikan bahan bacaan seperti buku bertajuk If I Have To Tell You One More Time oleh Amy Mc Ready, Child Of Our Time (BBC) oleh Tessa Livingstone dan Reading Magic oleh Mem Fox, sebagai sumber rujukan.

Mereka yang ingin melihat kejayaan mendidik anak-anak juga boleh menjadikan kejayaan Alia Amani, 2, yang sudah boleh membaca menerusi laman facebook.

Friday, November 16

Anak Lambat Bercakap (Bhgn 2)

Apakah bezanya antara masalah bercakap dengan pertuturan? Katanya masalah lambat cakap dikaitkan pelbagai faktor komunikasi termasuk kurang rangsangan untuk bercakap.

Bagi masalah pertuturan pula, adalah biasa untuk kanak-kanak kecil yang mula belajar bertutur untuk mengeluarkan bunyi-bunyi yang ‘pelat’ kerana ini adalah proses normal. Pelat atau ‘proses-proses fonologi’ ini berlaku sehinggalah sekitar lima hingga enam tahun di mana bunyi-bunyi pertuturan kanak-kanak akan terus bertambah baik dan akan menyamai bunyi-bunyi pertuturan orang dewasa. Apabila kanak-kanak tidak berjaya mengatasi ‘pelat’ ini pada tahap umur berkenaan, maka masalah pertuturan perlu dibantu oleh patologis pertuturan-bahasa.

Jelasnya seseorang bayi itu bersuara mengeluarkan kata - kata membebel atau ‘baby talk’ seperti aa , aa , ahggege , bababa , dededed , mamamam , nanana dan seterusnya sebelum dapat mengeluarkan perkataan yang bermakna. Dalam usaha merangsang kanak-kanak cepat bercakap, ibu bapa digalakkan bercakap dengan mereka walaupun ketika itu mungkin si kecil pada usia bayi.

Mengenai kemungkinan kanak-kanak lambat bercakap akibat penggunaan pelbagai bahasa di rumah menyebabkan kanak-kanak mungkin keliru, Dr Basha berkata, ia tidak semestinya berlaku kerana kanak-kanak menyerap bahasa bagaikan span dan tahu membezakan bahasa bila sampai masanya.

Pada peringkat awal, sesetengah kanak-kanak yang bertutur pelbagai bahasa mungkin ada menunjukkan sedikit kelambatan dalam menguasai kesemua bahasa yang dituturkan. Bagaimanapun, ini akan diatasi secara semula jadi. Dalam sesetengah kes, ibu bapa mungkin dapati anak-anaknya lebih bijak bercakap bila tahu banyak bahasa.

Tidak dinafikan unsur genetik adalah satu lagi sebab mengapa kanak-kanak lambat bercakap.

“Untuk mengelakkan berlakunya masalah bercakap bagi kanak-kanak, ibu bapa perlu memastikan supaya tahap pertuturan yang mereka gunakan adalah sepadan dengan umur anak mereka. Peluang untuk kanak -kanak mereka mendengar bahasa dan menggunakannya mestilah mencukupi di dalam persekitaran mereka.

“Jika ibu bapa atau penjaga selalu bercakap cepat, menggunakan perkataan yang tidak sepadan dengan kebolehan kanak -kanak mereka memahamimya sudah tentulah akan memberi kesan yang negatif kepada perkembangan pertuturan kanak -kanak mereka. Penggunaan bahasa adalah perlu untuk perkembangan intelek seseorang kanak -kanak. Perkembangan intelek pula dipengaruhi oleh tahap penggunaan bahasa. Jika kanak -kanak lambat bercakap pembelajaran mereka di masa hadapan akan terjejas.

“Sebetulnya selain daripada kesihatan tubuh badan , tahap pemakanan yang baik, keadaan fizikal dan mental yang baik , persekitaran yang penuh dengan stimulasi adalah perlu diberikan kepada kanak-kanak untuk menggalakkan perkembangan bahasa optimum,” katanya.

Jelasnya masalah bercakap selalunya menjadi petanda kepada masalah lain yang lebih besar, termasuk masalah pendengaran, atau autisme.

“Segeralah merujuk kepada pakar dapat membantu mengesan masalah dihadapi kanak-kanak. Selain Hospital Kuala Lumpur dan hospital besar di setiap negeri, ibu bapa boleh ke Klinik Audiologi & Sains Pertuturan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur yang khusus mengendalikan mengenai masalah berkaitan.

Anak Lambat Bercakap (Bhgn 1)

Tiada kaitan jantina, mungkin petanda anak alami masalah pendengaran, autisme.

SEAKAN wujud satu persepsi dalam kalangan masyarakat yang mengaitkan jantina sebagai alasan bagi kanak-kanak yang lewat bercakap.

Tidak hairanlah, kita sering mendengar dialog seperti “kalau dibandingkan dengan budak perempuan, budak lelaki memang lambat bercakap’. Namun, adakah tanggapan ini benar? 


Masalah bercakap hanya boleh ditentukan menerusi terapi pertututan-bahasa. Kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap. Ibu bapa yang mengesyaki anaknya berhadapan masalah bercakap, perlu segera merujuknya kepada terapis itu kerana lambat bercakap boleh menjadi ‘petanda’ kepada masalah lain termasuk masalah pendengaran, autisme atau masalah lain. Lebih cepat dikenal pasti, lebih cepat kanak-kanak itu dapat dibantu. 
- Dr Basyariatul Fathi Othman, Terapis Pertuturan Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi, Fakulti Sains Kesihatan, UKM
Mengajukan persoalan itu kepada Terapis Pertuturan Bahasa Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Basyariatul Fathi Othman, sebaliknya menyifatkan pandangan itu hanyalah mitos.

“Kanak-kanak yang lambat bercakap tidak boleh dibezakan dengan jantina. Cepat atau lambat kebolehan bercakap itu, sebenarnya banyak dipengaruhi persekitaran, termasuk pemilihan permainan.

“Budak perempuan dikaitkan dengan cepat pandai bercakap kerana jenis permainan mereka seperti ‘main masak-masak atau main pondok-pondok’ itu boleh menjadi satu proses pembinaan pertuturan,” ” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, sambil bermain masak-masak itu, mereka akan mengajuk cara ibunya memotong sayur, menjaga adik dan menukarkan pakaian. Perbuatan itu akan bersulam dengan pengeluaran ayat. Sekiranya dilakukan secara berulang-ulang kebolehan bercakap akan menjadi semakin lancar.
“Ini berbeza dengan budak lelaki. Kebanyakannya suka bermain kereta mainan, atau ‘pencuri-polis’. Tidak banyak perkataan dapat dikeluarkan menerusi permainan berkenaan melainkan bunyi ‘vroom’ enjin kereta atau perkataan ‘lari’ dan ‘tangkap’ dari mulutnya. Secara langsung faktor permainan amat mempengaruhi kebolehan mereka bercakap.

“Justeru saya fikir ada baiknya kalau budak lelaki turut sama bermain permainan budak perempuan kerana nyata bentuk permainan itu membina kebolehannya bercakap dan kognitif lain termasuk penggunaan motor tangan serta kaki. Penggunaan otak dan pergerakan badan menerusi perbuatan akan mempercepatkan mereka belajar perkataan baru, seterusnya membina ayat dengan baik,” katanya.

Namun, bilakah masanya atau tahap usia kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai lewat bercakap dan perlu mendapatkan bantuan?

“Kanak-kanak yang normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan ke setahun setengah. Kalau lewat daripada itu, ibu bapa boleh membawa kanak-kanak bertemu dengan terapi pertuturan bahasa untuk menentukan sama ada anak mereka mengalami masalah.

“Masalah bercakap hanya boleh ditentukan oleh Terapi Pertuturan-Bahasa kerana dalam setiap kes dirujuk. Kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap. Ibu bapa yang mengesyaki anaknya berhadapan masalah bercakap, perlu segera merujuk kepada Terapi Pertuturan Bahasa kerana lambat bercakap boleh menjadi ‘petanda’ kepada masalah lain termasuk masalah pendengaran, autisme atau masalah masalah lain. Lebih cepat dikenal pasti, lebih cepat kanak-kanak itu dapat dibantu,” katanya.

petikan dari  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Anaklewatcakap/Article/

Monday, November 5

Montaj Majlis Graduasi 2012

video

MAJLIS GRADUASI 2012

Gambar2 sekitar majlis yang berlangsung pada 20 Oktober lepas.
Ini backdrop yang dihasil sendiri oleh Pn. Wardi. Simple but nice! Wah! dah masuk bakul angkat sendirilah pulak! Dalam zaman IT ini, banyak perkara dan benda yang kita boleh jimat dengan buat sendiri.








Monday, September 24

Hari Taska Peringkat Negeri Pulau Pinang

Gambar sekitar Hari Taska yang diadakan pada 15hb Sept 2012. Ribuan terima kasih kepada semua ibubapa yang hadir (terutamanya ibubapa dari Taska Insan Gemilang & Tadika Intan Gemilang) memeriahkan lagi majlis ini.







Lawatan ke Aquarium Pusat Penyelidikan Perikanan Pulau Pinang.

Gambar sekitar lawatan. Aquarium Pusat Penyelidikan Perikanan terletak di Batu Maung Pulau Pinang.. kami bertolak dari Taman Seri Indah kepala Batas lebih kurang jam 9.00 pagi dan tiba di sana jam 9.45 pagi. Kami sampai terlebih awal dan terpaksa menunggu lebih kurang 15 minit kerana aquarium hanya di buka pada jam 10 pagi. Anak-anak tadika yang mengikuti rombangan lawatan ini cukup ceria. Walau pun mereka terpaksa beratur dan menunggu di hadapan aquarium namun mereka tak kisah. Semuanya berwajah ceria.









Thursday, September 6

KEKOSONGAN JAWATAN GURU TADIKA & PENGASUH


Pusat Jagaan Intan Gemilang sedang mencari calon-calon utk GURU TADIKA, PENGASUH dan PEMBANTU PENGASUH, yang sesuai utk mengisi kekosongan dengan KADAR SEGERA.

Kelayakan adalah seperti berikut;
PENGASUH
1. perempuan (wajib)
2. memiliki sekurang-kurang sijil PMR.
3. Sukakan kanak-kanak.
4. RAJIN dan boleh bekerja secara kumpulan
5. memiliki personaliti sopan santun, penyayang dan bertudung.
6. boleh membaca al-quran dengan baik.


GURU TADIKA
1. perempuan (wajib)
2. memiliki sekurang-kurang sijil SPM (kredit BM, BI dan Math).
3. Kreatif dan sukakan kanak-kanak
4. RAJIN dan boleh bekerja secara kumpulan
5. memiliki personaliti sopan santun, penyayang dan bertudung.
6. boleh membaca al-quran dengan baik.


Faedah yang disediakan:

1. PERKESO.
2. KWSP.
3. Cuti tahunan.
4. Elaun kerja lebih masa.
5. Elaun Khas.
6. Elaun Makan.
7. Tempat tinggal.
8. Bonus tahunan

Jika berminat, sila hubungi Teacher WARDI di talian 04-575 6020 / 019-473 6020 @ email - intangemilang@gmail.com utk temuduga.

Wednesday, July 11

Lawatan Dari Balai Bomba & Penyelamat Kepala Batas ke TIG Taman Seri Serdang.

Lawatan dari pihak bomba ini telah diadakan pada 22 Jun 2012 lepas. Cikgu tak berkesempatan untuk memasukan gambarnya lebih awal diatas kekangan masa. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Cikgu benar2 sibuk. Nak update bloq ini pun, cikgu terpaksa buat sambilan.

Dalam lawatan ini, pihak bomba telah memberi penerangan mengenai keselamatan anak-anak. Mereka juga berkesempatan menunjukan cara2 menggunakan alat pemadam api kepada murid-murid dan juga guru. Semoga info yang diberi memberi manafaat kepada kami semua. Pihak TIG mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak bomba kerana sudi datang ke TIG Taman Seri Serdang. Terima kasih juga kepada guru-guru di TSI yang memberi kerjasama yang baik.






Friday, June 22

Persembahan Pembukaan Minggu Kerjaya 2012 AUCMS

TIG telah diberi kepercayaan untuk membuat persembahan pembukaan Minggu Kerjaya 2012 AUCMS pada 19 Jun lalu. Walaupun TIG hanya dimaklumkan dalam masa yang singkat, namun anak-anak ini memberi kerjasama yang bagus. Terima kasih kepada ibubapa, anak-anak TIG dan tak lupa juga kepada guru-guru yang terlibat. Terima kasih juga di rakamkan kepada En. Anas dan pihak AUCMS kerana memberi kepercayaan kepada TIG.

video

Program Bersama Dutch Lady di TIG Taman Seri Serdang

Program ini pula telah diadakan pada 16 Mei (Hari Guru) yang lepas bersama dengan pasukan pemasaran Dutch Lady Wilayah Utara. Kali ini diadakan di TIG Taman Seri Serdang. Team ini, berbesar hati menerima pelawaan cikgu untuk mengadakan program yang sama tetapi di cawangan yang lain pula. Terima kasih cikgu ucapkan kepada mereka. Team ini cukup sporting!
Program ini juga di sambut bersama dengan sambutan Hari Guru. Banyak makanan yang terhidang, terima kasih juga diucapkan kepada ibubapa yang bersusah payah menyediakan makanan. Anak-anak TIG di Taman Seri Serdang amat teruja dan gembira dengan jamuan yang disedikan dan juga kehadiran pasukan pemasaran Dutch lady. Tambahan pula ada maskot untuk menambah keterujaan mereka. Selain Bergembira, mereka juga dapat info yang berguna mengenai khasiat susu. Terima kasih kepada pasukan pemasaran Dutch Lady dan juga guru-guru TIG.








Sunday, June 17

Program Bersama Dutch Lady di TIG Taman Seri Indah

Program ini telah diadakan pada 14 Mei yang lepas bersama dengan pasukan pemasaran Dutch Lady Wilayah Utara. Jika sebelum ini telah diadakan program bersama Horlick, dan kali ini bersama Ducth lady pula. Nampaknya tahun 2012 ini, TIG amat bertuah menerima kunjungan demi kunjungan dari pihak luar.


Anak-anak TIG juga amat teruja dan gembira dengan kehadiran mereka. Tambahan pula ada maskot untuk menambah keterujuaan mereka. Selain Bergembira, mereka juga dapat info yang berguna mengenai khasiat susu. Terima kasih kepada pasukan pemasaran Dutch Lady dan juga guru-guru TIG.
Cikgu Wardi bersama Team Ducth Lady.

Ada puppet show!

Ada juga anak-anak yang takut pada maskot ni.... :-)

Lihat reaksi muka mereka...

yang ni pula.... ekpresi muka sedap ke tak sedap?

begitu kusyuk mereka!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...