Monday, November 19

Didikan Awal Penting.


SIKAP segelintir ibu bapa yang mengambil mudah mengenai didikan awal anak kerana menganggap si kecil itu tidak mungkin dapat memahami pelajaran, bukan saja merugikan kanak-kanak, malah ibu bapa sendiri.
Sebahagian ibu bapa pula meletakkan usaha mendidik pada bahu guru semata-mata kerana berasa mereka tiada masa atau tiada kemahiran mendidik, sedangkan mengajar anak kecil tidak perlu secara formal, malah lebih mirip kepada bermain. 
Untuk mendidik kanak-kanak, kaedah serius seperti yang diamalkan orang dewasa tidak sesuai digunakan kerana tumpuan mereka terlalu mudah terganggu. Oleh itu, menerusi cara bermain dan melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan, akan membantu dalam sesi pembelajaran yang berkesan.

Ada ibu bapa berasa tugas mengajar adalah tanggungjawab guru di sekolah, manakala mereka pula hanya memberi sokongan daripada segi moral dan kewangan bagi memastikan kejayaan anak dalam bidang akademik, bukannya memainkan peranan utama.

Menurut pengasas Tadika dan Pusat Perkembangan Didik Literasi Kiddies, Farah Waheeda Abdul Wahid, anak-anak adalah cermin kepada ibu bapa mereka.

Katanya, kajian mendapati selain faktor genetik, kanak-kanak mudah meniru persekitaran mereka dan ibu bapa adalah individu yang paling penting dalam hidup mereka, bukannya orang lain.

“Jadi tidak wajar menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada guru semata-mata, pengasuh atau lebih buruk lagi pembantu rumah.

“Terdapat lima perkembangan utama yang perlu diberi perhatian dalam pendidikan awal kanak-kanak iaitu perkembangan fizikal, bahasa, kognitif, sosio-emosi dan moral.

“Bagaimana untuk mengharapkan anak yang pintar, rajin serta mempunyai pekerti mulia jika ibu bapa pula sebaliknya? Ibu bapa adalah guru terbaik buat anak-anak mereka,” katanya.

Didikan awal kanak-kanak banyak bergantung kepada personaliti atau gaya keibubapaan itu sendiri. Secara umumnya, ada empat cara yang boleh membentuk keperibadian anak-anak iaitu penguasaan, pengawalan, menyenangkan dan menenangkan hati.

Menurutnya, ibu bapa yang cenderung melindungi atau terlalu mengawal anak mereka secara tidak langsung akan mengehadkan daya saing serta memandang rendah keupayaan anak mereka untuk berdikari.

Contohnya, ada ibu bapa yang masih membiarkan anak mereka memakai lampin pakai buang walaupun umur menjangkau lima tahun, sedangkan kemahiran terbabit boleh dilatih seawal usia dua tahun lagi iaitu apabila anak berkenaan mula pandai bercakap dan menyatakan kemahuan kendiri.

Farah Waheeda yang sudah sembilan tahun terbabit dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak berkata, bayi lahir dengan berbilion juta sel neuron otak dan amat merugikan sekiranya sel terbabit tidak dirangsang dengan baik kerana ia akan mati begitu saja.

“Kajian menunjukkan kanak-kanak yang berumur kurang daripada empat tahun mempunyai daya serapan yang amat tinggi iaitu 200 peratus berbanding selepas melewati usia berkenaan.

“Pengalaman saya melatih anak sendiri seawal usia enam bulan menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Ini kerana ketika umurnya setahun, dia mula memahami perkataan yang diajar manakala pada usia menjangkau dua tahun, dia boleh membaca lebih 50 perkataan bahasa Inggeris,” katanya.

Baginya, mengajar anak kecil memerlukan kaedah seperti membaca yang menggunakan tiga kemahiran penting iaitu mengecam bunyi atau huruf, memahami bahasa yang dibaca serta mengaitkan cerita yang dibaca dengan pengalaman individu.

Kemahiran menulis pula memerlukan kesediaan pada motor halus dan ia satu kaedah yang paling berkesan, mudah dan sistematik menerusi fonetik dan multisensori.

“Melalui kaedah ini, anak-anak hanya perlu menyebut bunyi tanpa perlu mengeja.
Jadikan ia sebagai tabiat, tidak perlu lama, sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit sehari.

“Selain itu, bagi meningkatkan kemahiran anak untuk belajar membaca dan menulis, ibu bapa juga perlu memilih perisian yang berfaedah untuk anak-anak mereka,” katanya.

Jika anak-anak tidak didedahkan dengan kemahiran membaca dan menulis seawal mungkin, mereka mungkin akan ketinggalan dalam bidang pelajaran.

Apabila keyakinan diri tergugat, kanak-kanak itu secara automatik akan kurang memberi tumpuan kepada apa yang diajar guru ketika mula memasuki sekolah, sebaliknya lebih gemar bermain.

Kanak-kanak yang dianggap lemah oleh guru seterusnya akan diletakkan di kedudukan meja di belakang kelas. Ini menyebabkan mereka seolah-olah dipinggirkan kerana kurang memberi tumpuan dan seterusnya menganggap diri sendiri tidak bagus hingga terus tercicir.

Disebabkan itu, didikan awal penting untuk anak-anak sejak usia muda kerana ia bukan saja memberi mereka pemahaman dan membantu mereka belajar membaca dan menulis dengan lebih cepat, tetapi lebih penting keyakinan diri mereka meningkat secara mendadak.

Apabila mereka mula memasuki sesi persekolahan dengan keyakinan yang tinggi, kanak-kanak itu memberi tumpuan kepada pengajaran guru dalam kelas, sekali gus membantu mereka semakin meningkat dalam akademik, seterusnya menjadi pelajar cemerlang.

Menurut Farah Waheeda, untuk ke tahun satu, kanak-kanak yang berumur enam tahun perlu menduduki Ujian Linus (Literasi dan Numerasi) untuk mengukur tahap membaca mereka.

“Bayangkan jika anak anda masih belum boleh membaca? Pasti dia tertinggal di sekolah dan tercicir dalam bidang akademik, juga paling penting, keyakinan mereka memahami pelajaran.

“Kanak-kanak yang sudah boleh membaca secara automatik akan suka membaca buku cerita. Membaca adalah kriteria utama untuk membuka kejayaan,” katanya.

Menurut Farah Waheeda, ibu bapa yang berminat mendidik anak mereka membaca dan menulis, boleh menjadikan bahan bacaan seperti buku bertajuk If I Have To Tell You One More Time oleh Amy Mc Ready, Child Of Our Time (BBC) oleh Tessa Livingstone dan Reading Magic oleh Mem Fox, sebagai sumber rujukan.

Mereka yang ingin melihat kejayaan mendidik anak-anak juga boleh menjadikan kejayaan Alia Amani, 2, yang sudah boleh membaca menerusi laman facebook.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...