Bagi masalah pertuturan pula, adalah biasa untuk kanak-kanak kecil yang mula belajar bertutur untuk mengeluarkan bunyi-bunyi yang ‘pelat’ kerana ini adalah proses normal. Pelat atau ‘proses-proses fonologi’ ini berlaku sehinggalah sekitar lima hingga enam tahun di mana bunyi-bunyi pertuturan kanak-kanak akan terus bertambah baik dan akan menyamai bunyi-bunyi pertuturan orang dewasa. Apabila kanak-kanak tidak berjaya mengatasi ‘pelat’ ini pada tahap umur berkenaan, maka masalah pertuturan perlu dibantu oleh patologis pertuturan-bahasa.
Jelasnya seseorang bayi itu bersuara mengeluarkan kata - kata membebel atau ‘baby talk’ seperti aa , aa , ahggege , bababa , dededed , mamamam , nanana dan seterusnya sebelum dapat mengeluarkan perkataan yang bermakna. Dalam usaha merangsang kanak-kanak cepat bercakap, ibu bapa digalakkan bercakap dengan mereka walaupun ketika itu mungkin si kecil pada usia bayi.
Mengenai kemungkinan kanak-kanak lambat bercakap akibat penggunaan pelbagai bahasa di rumah menyebabkan kanak-kanak mungkin keliru, Dr Basha berkata, ia tidak semestinya berlaku kerana kanak-kanak menyerap bahasa bagaikan span dan tahu membezakan bahasa bila sampai masanya.
Pada peringkat awal, sesetengah kanak-kanak yang bertutur pelbagai bahasa mungkin ada menunjukkan sedikit kelambatan dalam menguasai kesemua bahasa yang dituturkan. Bagaimanapun, ini akan diatasi secara semula jadi. Dalam sesetengah kes, ibu bapa mungkin dapati anak-anaknya lebih bijak bercakap bila tahu banyak bahasa.
Tidak dinafikan unsur genetik adalah satu lagi sebab mengapa kanak-kanak lambat bercakap.
“Untuk mengelakkan berlakunya masalah bercakap bagi kanak-kanak, ibu bapa perlu memastikan supaya tahap pertuturan yang mereka gunakan adalah sepadan dengan umur anak mereka. Peluang untuk kanak -kanak mereka mendengar bahasa dan menggunakannya mestilah mencukupi di dalam persekitaran mereka.
“Jika ibu bapa atau penjaga selalu bercakap cepat, menggunakan perkataan yang tidak sepadan dengan kebolehan kanak -kanak mereka memahamimya sudah tentulah akan memberi kesan yang negatif kepada perkembangan pertuturan kanak -kanak mereka. Penggunaan bahasa adalah perlu untuk perkembangan intelek seseorang kanak -kanak. Perkembangan intelek pula dipengaruhi oleh tahap penggunaan bahasa. Jika kanak -kanak lambat bercakap pembelajaran mereka di masa hadapan akan terjejas.
“Sebetulnya selain daripada kesihatan tubuh badan , tahap pemakanan yang baik, keadaan fizikal dan mental yang baik , persekitaran yang penuh dengan stimulasi adalah perlu diberikan kepada kanak-kanak untuk menggalakkan perkembangan bahasa optimum,” katanya.
Jelasnya masalah bercakap selalunya menjadi petanda kepada masalah lain yang lebih besar, termasuk masalah pendengaran, atau autisme.
“Segeralah merujuk kepada pakar dapat membantu mengesan masalah dihadapi kanak-kanak. Selain Hospital Kuala Lumpur dan hospital besar di setiap negeri, ibu bapa boleh ke Klinik Audiologi & Sains Pertuturan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur yang khusus mengendalikan mengenai masalah berkaitan.
petikan diambil dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Anaklewatcakap/Article/
No comments:
Post a Comment