Friday, May 1

Wahai ibubapa sekalian.........(untuk renungan bersama)

Amat jarang kita mendengar ibu bapa mendedahkan anak-anak kepada konsep dan perintah DAKWAH.

Bukan sahaja daripada ibu bapa kepada anak, malah di dalam masyarakat kita sendiri. Dakwah adalah sebahagian daripada keganjilan Islam di akhir zaman ini. Jika disebut bab solat, semua orang tahu bahawa solat itu sebahagian daripada Islam. Jika dibicarakan soal zakat, maka pembayar zakat, penerima zakat, amil zakat dan orang yang enggan membayar zakat, semuanya tahu bahawa zakat itu adalah salah satu daripada binaan Islam.

Begitu juga dengan aurat, mengaji Quran dan menghormati ibu bapa.

Tetapi tidak dengan dakwah.

Dakwah urusan orang berketayap berjanggut. Dakwah itu subjek orang yang keluar 40 hari. Dakwah itu kerja ustaz-ustaz. Macam-macam idea tentang dakwah, memencilkannya daripada kehidupan Muslim.

Apatah lagi untuk seorang ibu atau bapa mengajar anak tentang dakwah.

Malah apa yang banyak berlaku ialah ibu bapa berpesan kepada anak-anak menjauhkan diri daripada dakwah. Mereka lebih tenang melihat anak yang bertudung tiba-tiba mencabut tudung, berbanding dengan anak yang bertudung tiba-tiba melabuhkan tudungnya.

“Gila dakwah,” kata mereka.

NASIHAT LUQMAN

Keganjilan itu, tidak pada manusia yang kaya hikmah bernama Luqman.

Nasihat-nasihat beliau kepada si anak, penuh tertib dan mendalam pengertiannya. Tidak jemu-jemu ahli Tafsir mengkaji dan menghuraikan keindahan dan ketinggian nilai pada nasihat Luqman kepada anaknya.

Di antara sederetan nasihat beliau kepada anaknya, yang disampaikan dengan penuh kasih sayang pada ungkapan kalimah Ya Bunayya (wahai anakku sayang), adalah nasihat beliau tentang DAKWAH.



“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala musibah yang pasti menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya” [Luqman 31: 17]

Tiada perintah yang lebih besar berkaitan dengan hablun min Allah selain daripada solat. Dan tiada perintah yang lebih penting berkaitan hablun min al-Naas selain daripada perintah dakwah berupa amar ma’ruf dan nahi munkar.

Luqman tidak bertangguh menasihat anaknya tentang hal ini. Biar pun kita tidak mempunyai sebarang maklumat sahih berkenaan dengan profail si anak, namun lenggok bahasa Luqman memperlihatkan bahawa anaknya itu berada di usia yang muda. Sebahagian daripada nasihat Luqman kepadanya, adalah pada menyatakan tentang tuntutan dakwah.

Malah Luqman tidak sekadar mengingatkan anaknya tentang tuntutan dakwah, beliau juga mendedahkan si anak tentang realiti dakwah.

“…dan bersabarlah atas segala musibah yang pasti menimpamu.”

Dakwah itu sasarannya manusia.

Halangannya adalah syaitan dan nafsu.

Dakwah itu suatu tugas. Upahnya adalah ujian yang mendatang. Ia bukan jalan yang senang. Pendakwah pasti teruji. Justeru bersabarlah wahai anak dan sekalian yang menyeru, ini jalannya semenjak dahulu. Teruji dengan kesengsaraan, mungkin juga oleh kesenangan dan kemewahan. Apa-apa sahaja yang bakal melintang di jalan dakwahmu, bersabarlah.

Nasihat Luqman tentang dakwah kepada si anak, disampaikan dengan penuh sedar. Sabar dan proaktif, begin with the end mind juga disuluh secerahnya. Dan biar pun begitu realiti dakwah, ia adalah urusan yang besar. Tekadkan azam dan berikan komitmen.

SILIBUS IBU BAPA

Luqman mengajar anaknya tentang dakwah.

Ia juga tugas kita sebagai ibu bapa untuk mendidik anak agar berhasil melahirkan generasi pendakwah di masa hadapan. Langkah pertama untuk menyemai pemikiran dakwah di minda dan jiwa anak-anak, adalah dengan menyuntik kepedulian kepada jati diri mereka.

Didiklah anak-anak agar mereka saling mengambil berat di antara satu sama lain.

Bermula dari situ, insan kecil yang berjiwa peduli ini akan sampai masa dan ketikanya mereka menyambut dakwah dengan fitrah, tanpa kesah dan tanpa beban gelisah.

Dakwah itu fitrah… suburkanlah!

artikel ini dipetik dari laman - ABU SAIF @ www.saifulislam.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...