Sunday, August 18

Boleh didakwa hantar anak ke taska tak berdaftar

Wardi Fathi Othman
Taska Insan Gemilang
Sumber gambar : Taska Insan Gemilang


TIDAK memenuhi standard minimum JKM. Aspek keselamatan, dan kualiti pengasuhan dan didikan awal kanak-kanak adalah diragui;

Pengusaha dan pengasuh tidak terlatih dengan kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak yang memberi penekanan kepada perkembangan holistik dan hak kanak-kanak, etika dan keterampilan pengasuh serta pengurusan TASKA yang teratur;


Tidak dipantau secara teratur oleh JKM;

Taska boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti dikompaun, dikunci (seal) atau didakwa kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Taska 1984 dan Peraturan-Peraturan Taska 2012;

dan

Jika berlaku kemalangan, ibu bapa boleh dituduh sebagai cuai atau mengabaikan kebajikan kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.


Kelebihan taska berdaftar

Berkualiti kerana memenuhi standard minimum yang ditetapkan JKM

Sentiasa dipantau oleh pegawai JKM sekurang-kurangnya empat bulan sekali agar sentiasa dikendalikan dengan baik, selamat dan memuaskan, selaras dengan peraturan ditetapkan serta keperluan perkembangan holistik kanak-kanak;

Profesional dan mahir dalam pengasuhan kanak-kanak dan pengendalian taska kerana mereka diwajib mengikuti latihan yang berkualiti dan teratur melalui Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak- Kanak yang diiktiraf JKM.


Tip kenalpasti taska berdaftar

Semak senarai taska berdaftar dilaman web JKM

Lihat papan tanda taska sama ada mempunyai nombor rujukan kelulusan pendaftaran JKM atau tidak

Perhatikan sama ada mempunyai Sijil Perakuan Pendaftaran yang sah dikeluarkan JKM dipamerkan di taska dan

Rujuk Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berkenaan jika tidak pasti status pendaftaran tersebut

Dr Zaitol Salleh, Pengarah Perundangan dan Advokasi JKM

Saturday, August 17

JKM dedah lebih 2,000 taska tidak berdaftar

Wardi Fathi Othman
Gambar dari Sinar harian .com

SUNGAI PETANI - Hampir 2,000 taman asuhan kanak-kanak (Taska) di negara ini, belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi JKM Malaysia, Dr Zaitol Salleh berkata walaupun ada peningkatan dari segi tahap kesedaran di kalangan pengusaha taska untuk berdaftar dengan JKM, masih ramai yang tidak mengambil inisiatif mendaftarkan taska mereka.

"Sehingga Julai lalu, keseluruhan taska yang berdaftar dengan JKM ialah 2,400. Berlaku peningkatan dari segi bilangan taska berdaftar iaitu pada 2008, jumlahnya hanya 245 taska, meningkat kepada 373 pada 2009, 483 (2010), 819 (2011) dan 2,045 tahun lalu.

"Kami menyasarkan 1,000 taska baharu berdaftar dengan JKM menjelang akhir tahun ini, namun bilangan taska yang tidak berdaftar lebih banyak daripada itu, hampir 2,000 taska termasuk yang baharu," katanya pada sidang akhbar selepas program pendaftaran dan insentif taska bersama JKM, di Kompleks Penyayang JKM Kuala Muda, di sini hari ini.

Zaitol berkata hanya 335 taska baharu yang berdaftar dengan JKM sehingga Julai lepas, dan pihaknya akan terus mengesan taska yang tidak berdaftar termasuk taska di rumah yang mengambil kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah, melebihi empat orang.

"Kami menggesa supaya taska yang belum berdaftar agar segera berdaftar. Kerajaan memperuntukkan RM15 juta di bawah Geran Penubuhan Taska dan Subsidi Yuran Pengasuhan berjumlah RM7.5 juta, dan ia dilihat satu galakan untuk pengusaha-pengusaha taska mendaftarkan taska masing-masing.

"Peruntukan ini merupakan pengiktirafan kerajaan bahawa perkhidmatan taska sangat penting kepada negara untuk membolehkan ibu bapa dan wanita bekerja selain menjamin kualiti asuhan dan didikan awal kanak-kanak," katanya.

Zaitol berkata dari segi pemberian insentif, sejumlah RM3,000 diberikan kepada pengusaha taska di rumah yang berdaftar dengan JKM, RM10,000 untuk institusi taska yang mengambil antara 10 hingga 19 kanak-kanak, dan RM20,000 bagi institusi yang mengambil kanak-kanak melebihi 20 orang.

"Untuk tahun ini, kami mengeluarkan kompaun kepada tiga taska kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan JKM, masing-masing dikenakan kompaun maksimum RM5,000," katanya.

Mengenai kes-kes kemalangan atau kematian yang berlaku di taska, beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan kes seperti itu berlaku di taska tidak berdaftar dengan JKM.

"Orang ramai boleh menyemak senarai taska yang berdaftar dengan JKM di laman web rasmi JKM atau menghubungi pejabat kebajikan masyarakat yang berhampiran untuk mendapat  pengesahan dan nasihat," katanya. - Bernama


petikan artikel dari http://www.sinarharian.com.my/nasional/jkm-dedah-lebih-2-000-taska-tidak-berdaftar-1.192071

Sunday, August 11

Salam Eidulfitri 2013


Pihak TIG menyusun jari sepuluh memohon maaf zahir dan batin sempena Aidilfitri ni. Moga pada hari baik, bulan baik ini kita mohon kemaafan dan memaafkan sesama kita.

Ketupat pulut di atas para,
Hendak direbus di tepi perigi,
Ucapan ini pengganti kad raya,
Tanda ingatan di Syawal ini.

Salam Eidulfitri.....
Maaf zahir dan batin.....

Sunday, July 28

Kualiti taska - Presiden Persatuan Taska Selangor

Assalamualaikum....

Sedikit perkongsian mengenai taska yang berkualiti. Semoga pengusaha-pengusaha taska dapat meningkatkan mutu perkhidmatan demi pengasuhan anak bangsa.

JKM beri gred kepada taska mulai 2014

Teks : Cikgu Wardi

Assalamualaikum......
Sekadar perkongsian ibubapa mengenai taska. Kami di TASKA INSAN GEMILANG  adalah taska yang telah berdaftar dengan JKM.

Thursday, November 29

Makanan Untuk Otak


1. Salmon
Salmon merupakan sumber asid Omega 3 yang sangat baik. Kanak-kanak yang makan salmon sekurang-kurangnya dua kali seminggu akan mempunyai minda yang tajam.
2. Telur
Sumber protein yang sangat mudah boleh didapati daripada telur. Kuning telur mengandungi cholineyang penting untuk perkembangan otak.
3. Mentega kacang
Kacang dan mentega kacang kaya dengan vitamin E iaitu antioksida yang mengawal membran saraf.
4. Bijirin penuh
Otak memerlukan tahap gula secukupnya untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Pengambilan bijirin pada waktu pagi mampu memenuhi keperluan tersebut 
5. Oat
Oat merupakan bijirin untuk otak. Kanak-kanak yang mengambil bijirin ketika bersarapan akan mendapat tenaga pertama untuk otaknya daripada oat. Oat yang kaya dengan serat juga menyediakan tenaga sepanjang pagi untuk anak.
6. Buah beri
Buah-buah beri seperti strawberi, blueberries, ceri mengandungi antioksida yang sangat berkuasa. Vitamin C yang terkandung di dalamnya dikatakan mampu mengelakkan serangan penyakit kanser. Kanak-kanak yang mengambil buah beri secara konsisten akan dapat memperbaiki daya ingatannya.
7. Kekacang
Kekacang merupakan makanan otak yang utama untuk mengekalkan tahap tenaga pemikiran manusia.
8. Sayur-sayuran berwarna-warni
Warna terang pada sayur-sayuran segar sangat baik kerana warna tersebut menandakan kehadiran antioksida padanya selain daripada vitamin dan mineral yang penting. Antioksida mengekalkan sel otak yang kuat.
9. Susu dan yogurt
Protein dan vitamin B yang ada dalam produk tenusu penting untuk pertumbuhan tisu otak, enzim danneurotransmitters. Susu dan yogurt juga kaya dengan protein dan karbohidrat yang merupakan sumber tenaga untuk otak.
10. Daging tanpa lemak
Daging tanpa lemak merupakan antara sumber makanan yang kaya dengan zat besi. Zat besi merupakan mineral yang penting untuk tumbesaran kanak-kanak dan membantu mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran di sekolah. Daging lembu juga mengandungi zink yang bagus untuk memori.

petikan dari Majalah Pa & Ma - http://pama.karangkraf.com/kanak-kanak/makanan-untuk-otak-1.97791

Wednesday, November 28

Minda Cerdas Persediaan Ke Sekolah - Bhgn 2


Fasa kedua: Bina minda menerusi permainannya 
1-Mainan kad imbasan 
Bermain dengan kad imbasan membantu perkembangan kognitif anak. Walau pun permainan sudah dimulakan seawal kelahiran, mainan ini boleh diteruskan untuk membina ingatan dan memorinya dengan mudah.
2-Blok mainan berwarna-warni dan berbentuk jigsaw 
Permainan blok, pelbagai bentuk dan jigsaw menambahkan kebolehan mereka untuk berfikir. Kebanyakan alat permainan berwarna-warni dan bermacam-macam-macam bentuk, saiz dan corak. Bermain dengannya akan menambahkan kemahiran koordinasi mata-otot-mental untuk menyaring maklumat dengan lebih cekap. Anda boleh bermain bersama dengan anak jenis jigsaw puzzle, mencantum blok bersambung serta mengasingkan objek mengikut bentuk dan warna untuk menajamkan minda dan menyerlahkan keupayaannya.
3-Gunakan tangan yang bukan dominan 
Jika si kecil menggunakan tangan atau kaki kanan sebagai anggota dominan, anda boleh mengajarnya menggunakan tangan kiri atau kaki kiri untuk melakukan aktiviti seperti melukis atau menyepak bola.
4-Main harta karun 
Anda juga boleh mengajak anak mencari harta karun. Berikan mereka klu dan suruhlah mereka mencari barang tersebut berdasarkan klu yang diberi. Sebagai contoh soalannya boleh berbunyi; Cuba cari benda yang berbentuk bulat di dalam sebuah kotak berwarna hijau di atas meja tulis. Pastikan klu yang diberi jelas dan anda boleh sediakan hadiah untuk permainan ini.
5-Bola ping pong dalam sudu 
Anda juga boleh meningkatkan kecerdasan minda anak dengan bermain permainan membawa bola pingpong dengan anak. Permainan ini akan membantu si manja mengukuhkan kawalan koordinasi badan dan minda.
Aktiviti-aktiviti ini membantu cilik mendapat minda untuk cerdas. Selain itu,  otak mereka juga sedang ‘bersenam’ untuk menerima seberapa banyak maklumat yang berguna. Hal ini juga meningkatkan keyakinan diri dan memperkaya pengalaman mereka. Tidak salah mencuba melatih minda anak kerana dalam masa yang sama ia membantu membina keterampilan positif pada si manja dan menggalakkan pertumbuhan tubuh badan yang sihat sebagai persediaan untuk menerima pelajaran di sekolah.  
 (Sumber: Majalah Pa&Ma November 2012)

Tuesday, November 27

Minda Cerdas Persediaan Ke Sekolah - Bhgn 1


Otak adalah organ terpenting dalam operasi tubuh. Otak terbahagi kepada dua bahagian iaitu kiri dan kanan. Otak kanan melihat sesuatu perkara secara menyeluruh dan lebih fokus kepada imaginasi dan kreativiti. Bahagian kiri otak pula adalah untuk menyelesaikan sesuatu yang kritis. Otak kiri lebih kepada urutan, kemahiran analitis dan pemikiran logik.
Maria melihat prestasi Amni tidak menunjukkan sebarang peningkatan walau pun sudah setahun dihantar ke prasekolah. Amni hanya mampu mengenal huruf, warna dan nombor dari satu hingga 10. Hal ini menjadikan ibu muda ini kecewa dan beranggapan Amni tidak berkebolehan kerana tidak memenuhi jangkaannya. Jauh di sudut hati dia menganggap Amni tidak normal atau lembap, tidak seperti anak-anak seusianya yang lain. Drama begini kerap berlaku di dalam kehidupan kita sehari-hari. Hal seperti ini berlaku kerana kita mengharapkan anak mempelajari setiap apa yang diajar di sekolah sedangkan kita mungkin tidak menyediakan mindanya untuk menerima pelajaran dengan lancar di sekolah.
Apakah kecerdasan minda? 
Pada usia lima hingga enam tahun mereka sedang meniti usia pra sekolah. Lazimnya ketika ini, sebahagian besar daripada otaknya sudah diterokai. Pendedahan kepada apa sahaja yang dilihat dan didengar dan disebut kekal di dalam memori otak. Setiap saraf dan sel otak berhubung antara satu sama lain untuk membentuk satu sesuatu kemahiran atau kepandaian untuk mempelajari sesuatu. Kecerdasan otak amat membantu anak untuk memberikan perhatian dan konsentrasi ketika di dalam kelas. Perkembangan kognitif dan kebolehannya menggunakan memori jangka panjang membantunya terus meneroka dan mengembangkan kebolehannya untuk mempelajari sesuatu yang baru.
Bagaimana melatih kecerdasan minda anak?
Minda yang cerdas memainkan peranan penting untuk melancarkan proses pembelajaran anak.
Kajian menunjukkan kebolehan seseorang untuk menerokai minda adalah dengan perubahan biologi yang disumbangkan menerusi latihan fizikal. Sebenarnya kecerdasan otak boleh kita latih dan cetuskan menerusi persiapan tubuh, permainan dan pergerakan fizikal tertentu yang terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama dan kedua.
Fasa pertama: Persediaan tubuh dan fizikal
1-Sentiasa terhidrat 
Anda perlu memastikan si manja mengambil secukupnya dalam sehari. Latih anak untuk minum sekurang-kurangnya segelas air sebelum memulakan pembelajaran. Hal ini kerana air membekalkan keseimbangan elektrolit dalam badan dan memberikan keadaan sesuai untuk sel-sel berhubung antara satu lain. Membekalkan anak dengan air dan melatih mereka meminum air sekurang-kurangnya satu liter sehari pada peringkat usia ini adalah amalan terbaik untuk kecerdasan minda.
2-Makanan untuk minda
Pemakanan seimbang amat penting untuk tumbesaran si manja. Namun, sesetengah makanan dipercayai berupaya membantu meningkatkan fungsi minda. Si manja perlu dibekalkan dengan makanan yang kaya antioksidan yang mampu mengelakkan kemerosotan memori, mengekalkan koordinasi dan pergerakan motor dan keseimbangan tubuh. Selain itu, sajian yang kaya minyak omega 3 seperti ikan lautan sejuk, badam, keju, beras perang, walnut, minyak canola, bijan. Selain itu kekacang dan telur yang diperkaya kandungan omega 3 juga adalah opsyen terbaik.
Makanan yang berkarbohidrat juga diperlukan dalam kuantiti yang sederhana dalam diet mereka. Makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat kompleks seperti oat, yogurt, roti gandum penuh dan aprikot kering adalah contoh karbohidrat kompleks yang digalakkan untuk menajamkan minda si cilik. Makanan yang kaya choline seperti telur dan kekacang amat penting untuk otak membina memori. Vitamin A yang banyak didapati dalam buah-buahan sayuran berdaun hijau gelap, jingga dan kuning membantu mengoptimumkan keupayaan minda untuk mengingati.
3-Tidur yang cukup 
Anda perlu memastikan si manja mendapat tidur yang cukup. Kanak-kanak pada usia lima hingga enam tahun masih memerlukan tidur pada waktu siang. Jumlah waktu tidur mereka sehari hendaklah sekitar 10 hingga 12 jam sehari. Hal ini penting untuk membantu si kecil dalam memberikan fokus dan tumpuan ketika belajar.
4-Senaman
Memetik kata Dr Gwen Dewar dalam artikelnya dalam laman parentingscience.com, kecergasan fizikal banyak mempengaruhi untuk mengukuhkan fungsi minda yang lebih baik pada kanak-kanak. Hal ini akan bakal membantu mereka menumpukan perhatian pada sesuatu dan mengabaikan gangguan yang ada di sekelilingnya.  Dedahkan si cilik dengan seberapa banyak aktiviti fizikal seperti sukan atau tarian untuk memastikan dia lebih mudah menumpukan perhatian semasa di dalam kelas.
(Sumber: Majalah Pa&Ma November 2012)

Monday, November 26

Memahami Pertumbuhan & Perkembangan Kanak-kanak


Perkembangan awal kanak-kanak umumnya meliputi pertumbuhan dan perkembangan mereka dari sejak lahir hingga 6 tahun. Pertumbuhan kanak-kanak berlaku sejak dalam kandungan lagi. Selepas bayi lahir, pertumbuhan dan perkembangan .
Pertumbuhan
Pertumbuhan kanak-kanak diukur berdasarkan keadaan tubuh badan mereka iaitu berat dan ketinggian. Selalunya, doktor atau pegawai perubatan ada carta yang boleh dirujuk oleh ibu bapanya. Biasanya berat badan akan diukur sesuai dengan ketinggian. Hal ini akan menentukan sama ada anak berada pada tahap di bawah pertumbuhan badan normal atau kurang/lebih. Bagaimanapun, faktor lain turut diambil kira iaitu faktor genetik dan kesihatan kanak-kanak itu.
Manakala perkembangan pula meliputi 4 asas utama iaitu perkembangan fizikal, bahasa, kognitif dan sosio emosi.

1. Perkembangan Fizikal
Perubahan yang berlaku dari segi bentuk dan saiz; kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan halus serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari. Manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti boleh memasukkan benang ke dalam lubang butang, melakar dan melukis.

2. Perkembangan Bahasa
Perubahan dari tahap mengeluarkan bunyi-bunyian kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada stimulasi. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya. Sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibaca kepadanya, menonton televisyen dan radio.

3. Perkembangan Kognitif
Keupayaan kanak-kanak mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia. Interaksi dan komunikasi orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu. Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah melakukan pengumpulan maklumat.

4. Perkembangan Sosio-Emosi
Keupayaan kanak-kanak bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Kanak-kanak semakin membesar dan pastinya perkembangan emosinya berbeza seperti gembira dan marah. Asuh kanak-kanak dengan mendengar perasaan yang diluahkan dan bimbing mereka ke arah emosi yang positif. Jangan dibiarkan kanak-kanak menangis berterusan tanpa mengambil berat emosinya. Terangkan kepada kanak-kanak tidak perlu menangis berpanjangan. Minta mereka memberitahu masalahnya dan berikan dorongan atau pujian sekiranya mereka boleh menguasai emosinya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...