Saturday, August 17

JKM dedah lebih 2,000 taska tidak berdaftar

Wardi Fathi Othman
Gambar dari Sinar harian .com

SUNGAI PETANI - Hampir 2,000 taman asuhan kanak-kanak (Taska) di negara ini, belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi JKM Malaysia, Dr Zaitol Salleh berkata walaupun ada peningkatan dari segi tahap kesedaran di kalangan pengusaha taska untuk berdaftar dengan JKM, masih ramai yang tidak mengambil inisiatif mendaftarkan taska mereka.

"Sehingga Julai lalu, keseluruhan taska yang berdaftar dengan JKM ialah 2,400. Berlaku peningkatan dari segi bilangan taska berdaftar iaitu pada 2008, jumlahnya hanya 245 taska, meningkat kepada 373 pada 2009, 483 (2010), 819 (2011) dan 2,045 tahun lalu.

"Kami menyasarkan 1,000 taska baharu berdaftar dengan JKM menjelang akhir tahun ini, namun bilangan taska yang tidak berdaftar lebih banyak daripada itu, hampir 2,000 taska termasuk yang baharu," katanya pada sidang akhbar selepas program pendaftaran dan insentif taska bersama JKM, di Kompleks Penyayang JKM Kuala Muda, di sini hari ini.

Zaitol berkata hanya 335 taska baharu yang berdaftar dengan JKM sehingga Julai lepas, dan pihaknya akan terus mengesan taska yang tidak berdaftar termasuk taska di rumah yang mengambil kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah, melebihi empat orang.

"Kami menggesa supaya taska yang belum berdaftar agar segera berdaftar. Kerajaan memperuntukkan RM15 juta di bawah Geran Penubuhan Taska dan Subsidi Yuran Pengasuhan berjumlah RM7.5 juta, dan ia dilihat satu galakan untuk pengusaha-pengusaha taska mendaftarkan taska masing-masing.

"Peruntukan ini merupakan pengiktirafan kerajaan bahawa perkhidmatan taska sangat penting kepada negara untuk membolehkan ibu bapa dan wanita bekerja selain menjamin kualiti asuhan dan didikan awal kanak-kanak," katanya.

Zaitol berkata dari segi pemberian insentif, sejumlah RM3,000 diberikan kepada pengusaha taska di rumah yang berdaftar dengan JKM, RM10,000 untuk institusi taska yang mengambil antara 10 hingga 19 kanak-kanak, dan RM20,000 bagi institusi yang mengambil kanak-kanak melebihi 20 orang.

"Untuk tahun ini, kami mengeluarkan kompaun kepada tiga taska kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan JKM, masing-masing dikenakan kompaun maksimum RM5,000," katanya.

Mengenai kes-kes kemalangan atau kematian yang berlaku di taska, beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan kes seperti itu berlaku di taska tidak berdaftar dengan JKM.

"Orang ramai boleh menyemak senarai taska yang berdaftar dengan JKM di laman web rasmi JKM atau menghubungi pejabat kebajikan masyarakat yang berhampiran untuk mendapat  pengesahan dan nasihat," katanya. - Bernama


petikan artikel dari http://www.sinarharian.com.my/nasional/jkm-dedah-lebih-2-000-taska-tidak-berdaftar-1.192071

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...